Sepanjang PBAKL 2014 yang berlangsung di PWTC, saya berpeluang melawat ke sana sebanyak 2 kali. Pertamanya pada hari Rabu 30 April, dan terakhirnya semalam, 4 Mei. Saya kesana memenuhi tanggungjawab berkawal di booth Indieke/Dubook H16-19 yang terletak dalam dewan tun Hussein Onn.
Dicelahan masa semalam (saya tak sempat beronda pada 30 April), sempat juga saya berpusing pusing melihat booth booth lain yang turut beraksi mempamerkan buku buku hebat terbitan syarikat mereka. Tidak dinafikan, pesta buku kali ini (dan yang sebelum sebelum ini), sudah dikuasai oleh penerbitan buku buku islami.Perkembangan ini, jika dilihat dari satu sudut, sangatlah baik dan memberangsangkan. Mengambil kesempatan berlegar, saya mencari cari buku buku yang kiranya sesuai untuk dibeli untuk diri sendiri, juga buku buku untuk anak anak.
Untuk yang pertamanya, melalui sebuah booth di aras 1, saya terlihat buku bervolume (siri 5 naskah) dengan tajuk Ensaiklopedia Sains dan Islam untuk kanak kanak. Tanda harga yang terpampang tertulis RM625. Kata adik penjaga meja "Hari ni last bang, kami diskaun harga jadi RM200 je, bagus ni bang untuk budak budak".
Saya tidak melayan kerana kepala asyik berfikir atas ketamakan apakah sampai orang sanggup menjual 5 naskah buku nipis ni dengan harga RM625?. Kata adik tu lagi, siri Ensaiklopedia itu laris, maka saya terfikir lagi ramainya orang kaya yang membeli set buku berkenaan sepanjang seminggu pesta buku berlangsung. Hari ni pula, harganya dipotong sehingga menjadi RM200. Juga, dengan harga sebegitu, saya kira ianya cukup mahal untuk dimiliki oleh orang kebanyakan seperti diri saya ini.
Timbul rasa tidak puas hati, kerana saya merasakan ilmu am yang berkait pula dengan kemurniaan agama ini tidak sampai maksudnya kepada kebanyakan orang dek kerana halangan harga yang kelihatan gila. Bukunya sudah sangat baik, tetapi kebaikan itu tak sampai ke destinasi, kalau sampaikan pun, mungkin ke rumah rumah orang senang dan kaya. Saya tidak fikir kumpulan pertengahan sanggup membelanjakan RM625 untuk set buku sebegitu walau hakikatnya isi dan pendidikan yang terkandung didalamnya sangat penting untuk bacaan kanak kanak. Hatta dengan harga rm200 itu pun saya kira terkial kial orang hendak keluarkan duit. Mungkin hal hal yang seperti ini membantu dalam merumit sulitkan akses pelajaran, dan penyampaian ilmu sains islam kepada kumpulan anak anak. Kecerdasan akal dan kuriositi mereka tidak melonjak disebabkan ketidakmampuan ibu bapa mereka menyediakan buku buku yang baik seperti buku yang saya nyatakan di atas.
Saya meneruskan perjalanan ke booth booth Islami yang lain. Di suatu sudut, satu set buku dengan tajuk 'Akhlak Rasulullah' dengan tanda harga RM139 terpamer megah di atas meja. Ada nota, "Tidak boleh beli berasingan". Maksudnya, buku Akhlak Rasulullah ini memiliki 3 siri, jadi kalau hendak beli, kena beli ketiga tiganya dengan harga RM139. Tidak boleh beli satu satu. Saya cuma mampu berkata dalam hati, "patutlah sudah ramai orang yang tidak berakhlak macam Rasulullah, kerana untuk membaca dan mengetahui bagaimana akhlak rasulullah itu, perlulah bermodal yang tidak sedikit". Disebelahnya, saya dapati set buku yang ada juga terpalit nama 'Rasulullah' (saya tidak ingat tajuk penuhnya), dengan tanda harga RM850!. Beberapa orang yang lalu lalang tidak langsung mendekati meja buku tersebut, mungkin takut dengan harga yang dipamerkan, atau merasakan diri mereka tidak layak bertanya tanya kepada tuan booth akan buku RM850 yang pastiya hebat itu.
Selang dua booth, saya dipertemukan pula dengan sebuah buku bertajuk Masalah Khilafiyyah denga tanda harga RM150.Fuhhh!
Semua yang saya nyatakan di atas, kalau kita teliti buku bukunya menawarkan keilmuan am yang sangat diperlukan oleh umat islam masakini. Perkara seperti asas sains dalam islam, akhlak Rasul, masalah khilaf merupakan hal hal keilmuan am yang tidak sepatutnya di-elit-kan pembacaannya.
Saya terfikir,
Bagaimana pesta buku boleh melahirkan generasi yang mempunyai qualiti ilmu dan kefahaman yang tinggi kalau buku buku keilmuan islam sendiri pun dijual pada harga yang menyeksa jiwa raga?
Bagaimana kita hendak mendidik anak anak supaya diperluaskan ruang bacaannya kepada bahan yang lebih objektif dan berinformasi kalau harga bukunya mencecah ratusan ringgit?
Bagaimana kita hendak menyuruh orang menuntut ilmu islam kalau punca ilmu itu dikongkong dalam penjara ketamakan yang bertopengkan islam? dimana penulis, pemilik, pengendali yang hampir semuanya terdiri dari orang islam sendiri.
Juga saya terfikir,
Semua ini terjadi, mungkin kerana peniaga peniaga yang menjual buku buku semahal ini menjalankan strategi, yakni membeli hati manusia yang kaya berada dengan kecantikan agama, dan apabila hati hati manusia yang kaya berada ini telah tertawan, maka para peniaga ini lalu menjualkannya pula dengan harga berapa pun, sudah tidak menjadi soal.
Saya agak kecewa, kerana secara purata, buku buku agama peringkat kanak kanak dan dewasa (jangan kira lah buku siri kisah sahabat yang tebalnya cuma 10-15 muka surat), yang di dalamnya terkandung nilai ilmu yang penting untuk diketahui oleh banyaknya orang, hampir semuanya dijual dengan harga tidak kurang RM30. RM50 itu biasa. Lebih dari RM50, itu yang terbanyak.
Tauke Dubook merupakan sahabat baik saya. Jadi tak usahlah nak chong atau temberang berborak soal kos printing, kos itu, kos ini, dan masih cuba hendak mengatakan harga harga buku yang saya nyatakan di atas (baru sebahagian kecil, di booth booth di aras lain saya tidak sempat melawat) itu waras dan berpatutan. Saya tahu dan boleh anggar berapa kos yang dibelanjakan untuk buku yang pelbagai jenis, soft cover, hard cover, printing material dan sebagainya.
Saya tidak gamak mengatakan yang penjual buku buku agama dalam kategori harga ratusan ringgit itu turut serta menjual agama. Mereka mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat apa yang mereka mahu berbuat. Cuma perkara asas yang semakin hilang dari jiwa, bahawasanya buku itu punca ilmu, ilmu agama islam pulak tu, jadi usahakanlah sebaiknya supaya ilmu ilmu islam ini dapat sampai kalau tidak semua pun, sebahagian besar pengunjung pesta buku menikmati manfaatnya. Kalau harga sudah murah berpatutan pun, pengunjung masih tidak mahu beli, itu bukan lagi masalah kalian sang peniaga.
Namun harus diingat, sebelum menuduh pengunjung tidak mahu beli, belek dahulu berapa harga yang kalian tawarkan. Kalau untung berlipat kali ganda yang ada dalam kepala, berniagalah benda lain, janganlah berniaga buku buku hal ehwal agama Islam, kerana itu, akan membuah rasa kecewa pada umat islam yang melata tidak mampu, lalu buku buku agama menjadi kelas kelas, ada kelas untuk orang bawahan, ada pula kelas untuk orang atasan.
Islam tidak menindas, sebaliknya membebas!