Hari ni gua nak cerita macam
Lucius Maximus, cerita pasal industri minyak dan gas. Industri minyak dan gas ni sememangnya menawarkan pulangan yang lumayan, dari sekecil kecil skru, sampaila sebesar besar kompressor. Kalau orang tua tua tahu ada budak bujang kerja sektor ni, memang ada can dia rembat jadi menantu, atau sekurang kurangnya rekemenkan ke anak sedara, atau paling koman pun dia ajak datang rumah makan nasik.
Sebagai ahli rasmi dalam industry minyak dan gas ni, gua tak berapa la nak berlagak sangat bila pergi isi minyak di mana mana stesen pun. Bangla bangla stesen tak cuci cermin kereta gua pun tak apa. Tak senyum pun tak apa. Buat muka biasa biasa pun gua ok lagi. Pendek kata, bila gua di stesen minyak, gua buat bodoh saja. yang kes isi diesel dulu tu memang paling bodoh la dalam semua semua perkara bodoh yang gua lalui di stesen minyak.
Tapi kadang kadang, bila gua selalu buat bodoh, memang diperbodohkan sungguh jadinya.
Sampaila ke suatu hari gua dah tak bagi chance.
Di Tanjong malim, ada stesen minyak berjenama Petronas.
Ada sekali pagi Ahad masa tahun 2007, gua pergi ke stesen minyak Petronas ni untuk isi minyak moto dengan memakai selipar tat sing. Jam pada waktu tu menunjukkan kira kira pukul 9 pagi, masa yang belum masanya untuk pekena mandi dan pakai smart smart. Setakat pergi isi minyak di kawasan sendiri, apa gampang nak kena mandi pagi?
Ya. moto ex5 yang buruk, pakaian selekeh dengan rambut tak sikat dan muka bau tak mandi, memang kombinasi perfect untuk tidak dipandang up oleh makwe makwe kaunter stesen minyak.
Gua tongkat moto dan angkat seat sejurus tiba di pam yang 'motosikal sahaja'. Helmet gua kasi tanggal dan sangkut di batang cermin. Pada ketika itu, kereta kereta berjenama mewah megah memaking di pam pam barisan hadapan. Ada kereta BMW, ada kereta Mercedez, ada kereta Audi dan pelbagai jenis kereta lagi dengan pelbagai jenis tuan dan pelbagai jenis baju POLO dan handbag Channel yang respek respek semuanya.
Mereka berkumpul di kaunter. Ada yang hulur kad keredit, ada yang hulur kad debit dan ada yang hulur note 50 dua keping masing masing tak mahu mengalah.
Di celah celah baju POLO dan handbag Channel, muncul gua dengan sekeping wang lima ringgit.
"Lima ringgit pam enam!" - seru gua dengar tak dengar.
Keredit kad masuk dan keluar, begitu juga note yang besar besar turut masuk dan keluar. Duit lima ringgit gua masih erat ditangan. Dua tiga orang makwe di kaunter entah nampak entahkan tidak baju 'Hari keluarga' yang gua dressing tak salin sejak dari petang semalam ni.
Masa semakin mencemburui, dan hati gua semakin panas membara. Tiga empat kali duit yang gua hulur tak mendapat perhatian mesra.
Gua melilau mencari akal. Gua tinjau ke luar, dan kelihatan di situ operasi menyelenggara tangki minyak bawah tanah sedang berlangsung.
Yess!.
Tanpa menghiraukan orang sekeliling, gua sound makwe makwe di kaunter:
"Tu kerja mentenen tangki kat luar tu siapa supervise?"
Makwe yang sedang membungkus roti sweetie berhenti memandang gua. makwe sorang lagi yang nak swipe kad keredit turut memandang gua, dan makwe terakhir..makwe yang gua cuba hulur duit 2-3 kali dia tak pandang juga berhenti dan memandang gua.
Semuanya bermuka hairan dan ketat.
Abang POLO dan kakak Channel juga bermuka hairan.
"Kenapa?, ada masalah ke encik?" - makwe yang membungkus roti sweetie seorang saja yang berani bersuara.
Gua yang sememangnya panas hati tidak memberi muka.
"Benda benda melibatkan safety ni kena ada supervision. Siapa staff Petronas yang jaga FUEL stesen kawasan Perak selatan ni?, siapa?"
Dalam kekalutan makwe roti sweetie tadi menjawab tergagap gagap. Entah nama siapa dia petik gua memang dah tak pedulik.
"Mana dia?," - tanya gua tinggi suara.
Keadaan menjadi semakin kalut bila kutu yang cuma pakai selipar tat sing dan baju 'Hari Keluarga' mempertikai secara HSE penyelenggaraan stesen kepada makwe makwe kaunter. Masa ni kad keredit entah kemana, note 50 2 keping tadi pun boleh jadi lupa pam nombor berapa.
"Errr..tak tahu la encik..dia belum sampai lagi rasanya" - makwe yang paling berlagak sekali yang tak layan gua hulur duit tadi pula menjawab tergagap gagap.
Gua angkat talipon bimbit bagi semua nampak. Masa tahun 2007 ni gua masih pakai Nokia siri berapa ratus gua sendiri pun tak berapa ingat. Gua tekan nombor.
Tit..tit tit..tit tit tiitttt..
Semua mata tertumpu pada gua. Semuanya berdebar debar.
"Hello Assalamualakum encik gazali, saya di stesen Petronas Tg Malim ni...saya nak tahu siapa staff Petronas yang supervise mentenen tangki kat sini ni?"
"Ya. Bahaya takde orang!, memang bahaya sebab takde orang!!"
"Ya..Yaa!, itu takpe encik gazali...itu nanti kita bincang di KLCC.."
"Ok..suruh dia datang cepat, saya bimbang nanti jadi hal audit kita juga yang kena jawab!"
"Ok..ok..ok..Waalaikumussalam!"
Gua letak talipon masuk dalam kocek belakang. Muka makwe makwe kaunter yang sebelum ini bersinar sinar kini semuanya menjadi kelat. Pandang gua pun dah jadi segan silu. Abang POLO dan kaka Channel yang sejak tadi incaj line depan sekarang dah buka laluan supaya gua boleh lalu.
Gua hulur duit rm5 ringgit:
"Pam enam!"
Makwe yang paling kerek tadi terus menikus tunduk. Sambut duit pun tunduk.
+++++
Gua keluar dari dalam stesen sambil bukak pintu kuat kuat tanda protes.
Lepas isi minyak sambil bersiul, gua rempit ex5 ke seven eleven, baru gua perasan dah dekat 3 hari henset nokia ni tak top up. Celaka!